Pahlawan Yang Disegani

SEJARAH PAHLAWAN YANG DISEGANI

1. 8165 Sjn Jantan bin Nyamat

Pahlawanku. 8165 Sjn Jantan bin Nyamat dilahirkan pada 2 jan 1935 di kampong Jasin, Melaka. Beliau mendapat pendidikan rendah hingga darjah enam di Sekolah Melayu Kampung Bukit Senggeh Melaka. Mencebur diri dalam profession ketenteraan pada tahun 1952 dan pasukan pertama beliau berkhidmat adalah Batalion Pertama Rejimen Aksar Melayu DiRaja yang berpengkalan di Muar Johor. Setelah berkhidmat selama tujuh tahun, beliau telah menamatkan perkhidmatan pada tahun 1959 semasa berpangkat Lans Koperal.

Tercetus Konfrantasi Inndonesia terhadap Malaysia pada tahun 1963, beliau menawarkan diri untuk berkhidmat semula pada 15 Nov 1963 dan sekali lagi telah berkhidmat di 1 RAMD yang ketika itu berpengkalan di Kem Sungai Besi. Beliau mula berkhidmat di 9 RAMD dalam tahun 1965 yang ketika itu berpengkalan di Kem Majidee, Johor Bahru. Semasa berkhidmat di Sarawak dan berpengkalan di Semenggo pada tahun 1972, beliau ketika itu telahpun menyandang pangkat Sarjan. Beliau telah menawarkan diri untuk menjadi Platun Sarjan Tiger 9 RAMD yang baru ditubuhkan dan diketuai oleh Lt M Ibrahim bin Hj Kassim dan kemudiannya diganti oleh Lt M Mohamad Yusof bin Baharin.

Pada 23 Dis 1972, Pegawai Memerintah pasukan ketika itu Lt Kol Izaidin bin Mohd Rahim Shamsoodeen telah mengarahkan Tiger Platun bergerak ke kawasan Sg Pati. Berikutan maklumat yang diterima terdapat 6 orang pengganas sedang bergerak di kawasan tersebut. Keanggotaan Platun seramai 16 orang termasuk seorang anggota medan (FIO) telah dibahagikkan kepada 2 kumpulan dimana satu kumpulan diketuai oleh Lt M Yusof bin Ibrahim manakala satu kumpulan lagi diketuai oleh Sjn Jantan sendiri. Pada petang 25 Dis 72 dalam perjalanan menuju ke Balai Raya Kampung Landeh untuk bertemu Ketua Platun, beliau didatangi oleh seorang penduduk tempatan memberitahunya bahawa si seberang sungai terdapat 32 orang pengganas Komunis. Pengganas tersebut akan menyemberangi sungai pada sebelah malam untuk meneruskan perjalanan mereka ke batu 10. Setelah melaporkan kepada ketua platun dan pegawai memerintah, kumpulan Sjn Jantan telah diarahkan unntuk membuat serang hendap dikawasan yanng difikirkan akan dilalui oleh pengganas.

Setibanya berhampiran tebing sungai kampung landeh, cuaca telah pun gelap kerana waktu itu telah hampir jam 2030. Beberapa penduduk tempatan telah melaporkan bahawa perahu mereka telah diambil oleh pengganas komunis untuk menyemberangi sungai. Tanpa membuang masa Sanjan Jantan dan anggotanya mengambil kedudukan di sebuah rumah kosong berhampiran jalan kampung yang menuju ke jeti. Setelah beberapa minit sjn jantan mula melihat kelipan lampu suluh serta bunyi pergerakan sampan menuju ke arah sebelah kanan kedudukan serang hendap. Beliau kemudian bergerak 20 meter ke kanan untuk mengambil kedudukan yang lebih kukuh bersama dua anggota lagi. Kemudian beliau ternampak bayang lembaga tidak jauh di hadapan. Dengan berselindungkan di sebalik pokok pisang Sjn Jantan terus melepaskan satu tembakan semburan keatas lembaga manusia itu. Tembakan susulan dari anggota yang lain selama 10 minit menyebabkan pengganas begitu terkejut dan selepas itu tiada kedengaran sebarang bunyi tembakan dan pergerakan kecuali kedengaran raungan kesakitan. Memandangkan cuaca gelap semua anggota mengambil kedudukan masing-masing sebelum penggeledahan dilakukan apabila cuaca cerah.

Keesokan paginya tidak jauh di hadapan Sjn Jantan terbaring 3 mayat pengganas komunis 2 lelaki dan 1 perempuan, sementara lima laras senjata dan lima beg galas dijumpai berdekatan dengan pengganas yang dibunuh. Dalam penggeledahan di kawasan yang berhampiran 3 laras senjata dan lima beg galas lagi dijumpai. Anggota yang membuat penjejakan menuruti sungai menjumpai sampan yang tersadai dan terdapat 2 laras senjata dan satu beg galas. Pada 27 Dis 72 pasukan Gerak Khas yang membuat rondaan telah menjumpai satu mayat pengganas bersama selaras senjata dan satu beg galas.

Di atas sifat keberanian serta kesungguhannya dalam melakksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya sehingga membawa kejayaan yang begitu bermakna kepada negara, agama dan bangsa, Sjn Janatan dengan serta merta disokong oleh panglima Briged ketiga Brigadier Jeneral Hassan bin Hj Mohamad dan diperkenankan oleh DYMM Sri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang kelima, untuk dianugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB). Penganugerahan pingat tersebut telah disampaikann oleh Ketua Menteri Sarawak Dato’ Haji Abdul Rahman bin Yaacob pada 12 Jan 1973 di Kampung Siburuh, Kuching Sarawak.

Disepanjang perkhidmatan di Sarawak, Tiger Platun 9 RAMD berkesempatan bertempur sebanyak 9 kali dan sanjan Jantan terlibat di dalam tujuh pertempuran. Dalam pertempuran kali ke 9 dan ke 7 bagi dirinya siku kanan beliau telah disinggahi oleh peluruu pengganas dan meninggalkan kesan hingga sekarang. Beliau bersara dari ATM pada tahun 1979 setelah berkhidmat selama 23 tahun dan pangkat terakhir yang disandang ialah PW II. Kini di dalam usia hampirr mencecah 60 tahun beliau menjalankan kegiatan sekolah memandu bersama isteri tersayang Puan Asmah bte Ali. Kelima-lima anak beliau telah dewasa dan berjaya di dalam pelajaran serta pekerjaan dan tiga lagi daripadanya telah berumahtangga. Sehingga kini beliau menetap di rumahnya sendiri di taman Pinang Jaya, Bukit Pinang, Kepala Batas, Alor Setar kedah.


2. 9592 Kpl Safar bin Ibrahim

 
Beliau dilahirkan di Kampung Kandang, Melaka pada 04 Feb 1934 dan mendapat pendidikan formal sehingga darjah enam Sekolah Melayu. Memulakan kerjaya sebagai seorang anggota tentera pada 17 Mac 1953 dan dinaikan pangkat Lans Koperal setelah sepuluh tahun berkhidmat, seterusnya dua tahun kemudian beliau dinaikan pangkat Koperal. Beliau terpilih menjadi salah seorang ketua seksyen Tiger Platun 9 RAMD.

Semasa melaksanakan satu gerakan di Sarawak dalam bulan Dis 1972. Pl Tiger telah dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu satu kumpulan diketuai oeleh ketua platun sendiri iaitu Lt M Yusuf bin Ibrahim, satu kumpulan lagi oleh Sjn Jantan bin Nyamat PGB manakala Kpl Safar bin Ibrahim sendiri mengetuai kumpulan ketiga. Pada pagi 20 Dis 1972 semasa kumpulan beliau bergerak ke tempat berkumpul setelah tamat menjalani gerakan mereka telah diserang hendap oleh segerombongan pengganas seramai 20 ke 25 orang. Sedang ketika itu kumpulan Kpl Safar bin Ibrahim melalui jalan Ah Onn seramai 4 orang anggota. Kumpulan beliau betul-betul berada di dalam kawasan membunuh pihak musuh.

Akibat dari tembakan pertama telah menembusi beg galas beliau dan seterusnya mereka dihujani oleh tembakan. Seorang anggota iaitu Pbt Yunus tercedera terkena tembakan musuh dan sebutir telah singgah di peha beliau semasa sedang menukar kelopak. Oleh kerana kekuatan musuh jauh lebih besar dan kumpulan beliau kekurangan peluru. Kpl Safar telah berusaha dengan sedaya upaya untuk keluar dari kawasan membunuh musuh dan membuat perhubungan radio meminta bantuan. Setelah mengambil kedudukan yang membolehkan beliau melepaskan tembakan dan dua butir graned telah dilemparkan ke atas musuh. Setelah itu barulah tiada kedengaran tembakan dari pihak musuh dan mereka seterusnya berundur. Di dalam pertempuran yang berlaku selama 20 minit itu dua anggota iaitu 19310 Pbt Sabda bin Md Jais dan 929763 Pbt Md Husssin bin Ali telah mengalami kecederaan manakala seorang pengganas juga berjaya dibunuh

Kejayaan satu kumpulan kecil yang diserang hendap musuh dan seterusnya mengusir musuh yang menyerang hendap dari kedudukan mereka bukanlah satu masalah yang mudah. Tanpa semangat kepahlawanan yang jitu, keberanian dan ketangkasan mengendalikan senjata serta kemahiran di dalam muslihat peperangan hal sebegitu tidak mungkin berlaku. Dengan kejayaan itu Kpl Safar telah disokong oleh Pegawai Memerintah dan pihak atasan untuk dianugerahi Pingat Panglima Gagah Berani (PGB). Pingat tersebut telah dianugerahkan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang ke lima pada 05 Jun 1974. Beliau menerima penganugerahannya di padang kawad Kem Sg Besi pada 22 Mac 1975 sempena Perbarisan Penyampaian Panji-Panji kepada pasukan ini.

Allahyarham bersara daripada perkhidmatan setelah memperhambakan diri selama 24 tahun kepada negara, bangsa dann agama pada 22 Jan 1977 dengan pangkat Koperal yang disandang sejak tahun 1965. Allahyarham meninggal dunia dalam satu kemalangan pada 25 Dis 1980 dan dikebumikan di Kampung Seri Repah, Tampin, Negeri Sembilan. Allahyarham meninggalkan seorang balu Puan Siti Rabilah bte Hj Salih dan mempunyai enam orang anak. Semoga Allah Subhannahu Wataala sentiasa mencucuri rahmat keatas rohnya dan pengorbanan beliau akan sentiasa dikenang serta diabadikan di dalam lipatan sejarah pasukan.