Panji - Panji Rejimen 9 RAMD Para

PANJI-PANJI REJIMEN BATALION KESEMBILAN
REJIMEN ASKAR MELAYU DIRAJA
Pada 22 Mac 1975 pasukan ini telah dikurniakan panji-panji Rejimen. Pengurniaan panji-panji ini telah disempurnakan oleh KDYMM Sultan Kedah selaku Kolonel Yang Dipertua RAMD di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur. Warna pasukan iaitu hijau hitam hijau mempunyai pengertian yang tertentu. Warna hitam bermaksud kecekalan dan keberanian. Warna hijau pula bermaksud sikap setia kawan dan kepercayaan yang berpanjang. Mengikut susunannya satu tafsiran yang mempunyai ertikata ciri-ciri perjuangan pasukan iaitu sikap kecekalan dan keberanian sentiasa diiringi oleh sikap setiakawan dan kepercayaan yang berpanjangan.


PANJI-PANJI REJIMEN 9 RAMD

Dianugerahkan oleh KDYMM Kolonel Yang DiPertua Rejimen Askar Melayu DiRaja Sultan Kedah pada 22 Mac 1975

PENGANUGERAHAN PENGGANTIAN PANJI-PANJI REJIMEN YANG BARU


Penganugerahan Penggantian Panji-Panji Rejimen yang Baru Oleh KDYMM Sultan Kedah Kol Yang DiPertua Kor RAMD

Upacara istiadat penganugerahan penggantian panji-panji Rejimen Batalion Kesembilan, Rejimen Askar Melayu DiRaja di Kem Terendak, Melaka telah selamat dijalankan pada hari yang bersejarah pada 13 November 1996. Ketua perbarisan penganugerahan penggantian Panji-Panji Rejimen oleh Pegawai Memerintah Batalion Kesembilan Rejimen Askar Melayu DiRaja Para iaitu Lt Kol Johari bin Mat Shek. Manakala pegawai pembawa panji-panji lama adalah Lt M Samhasri bin Samah dan pegawai pembawa panji-panji baru pula ialah Lt M Ben Khalid Hakimy bin Mohd Yusoff. Ajutan perbarisan adalah Lt Khairuddin bin Zakaria dan Sarjan Mejar Rejimen perbarisan adalah PW I Mohamed Zuki bin Ahmad.

Upacara istiadat tersebut dimulakan dengan ketibaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Kolonel Yang Dipertua Rejimen Askar Melayu Diraja, Setelah ketua perbarisan memberi hormat diraja, pemeriksaan perbarisan dilakukan dengan kenderaan diraja. Selesai sahaja pemeriksaan perbarisan panji-panji lama telah diarak keluar oleh Lt M Samhasri bin Samah yang akan disimpan buat kali terakhir. Kemudian panji-panji baru telah dibawa masuk oleh KMSR 1 bersama kuartermaster Lt Abd Hamid bin Othman. Penolong ketua perbarisan Mej Abd Halim bin Hj Abd Ghani dan pegawai panji-panji baru Lt M Ben Khalid Hakimy bin Mohd Yusof mengambil tempat untuk menepung tawar. Setelah selesai acara menepung tawar dijalankan Penolong ketua perbarisan mengambil panji-panji dan menyerahkan kepada KDYMM Kol Yang DiPertua Rejimen Askar Melayu DiRaja untuk upacara meletakan panji-panji kepada selempang pegawai panji-panji dan diikuti dengan bacaan doa selamat dari guru agama pasukan. Kemudian diikuti titah ucapan KDYMM Kol Yang DiPertua Rejimen Askar Melayu DiRaja.

Perbarisan tersebut ditamatkan dengan acara mengarak panji-panji oleh Kompeni pengiring dihadapan pentas DiRaja dan hormat DiRaja. Kemudian KDYMM berangkat meninggalkan majlis.Perbarisan penganugerahan pengantian panji-panji Rejimen ini telah dibarisi oleh anggota yang terdiri dari 14 pegawai dann 500 LLP.